fb fb fb fb fb

Rujuk saluran yang betul sebelum hujah guna agama

SHAH ALAM, 17 September- Rakyat negeri Selangor dinasihatkan supaya merujuk saluran yang betul sebelum berhujah menggunakan nama agama.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan, perbuatan menggunakan nama agama bagi memecah belahkan perpaduan adalah sangat tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.


(Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah)

"Saya rasa rakyat negeri Selangor patut memandang serius titah Tuanku tersebut, harus menjunjung titah Tuanku. Tuanku adalah ketua agama Islam di Selangor dan saya fikir dua perkara yang disebut oleh Tuanku adalah mengekalkan perpaduan, menjauhi perpecahan.

"Semalam dalam khutbah telah disebut soal fatwa dan bagaimana fatwa yang mana harus diikuti oleh rakyat. Jadi kita di negeri Selangor ini ada saluran-saluran yang rasmi, rujuk kepada saluran-saluran rasmi ini untuk kefahaman kepada agama Islam yang sebenar", katanya.

Beliau turut menjelaskan, kejayaan Islam berkembang ke seluruh dunia kerana sikap hormat-menghormati antara kaum, selain penyatuan dalam kalangan umat Islam.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Masyarakat Majmuk: ‘Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih' anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Pada 12 September, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Media Baharu