fb fb fb fb fb

Saringan kontraktor aktif perlu dilaksana, elak kartel – TPM Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kanan) hadir merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Ke-46 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (tiga, kanan) dan Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab. Aziz (empat, kiri).

KUALA LUMPUR, 15 Disember - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta agar saringan terhadap kontraktor di Malaysia dilaksanakan bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar aktif terus kekal dalam industri pembinaan.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan kelangsungan pemain sebenar dalam industri berkenaan.

“Saringan baharu perlu dilakukan dan hanya kontraktor yang benar-benar aktif sahaja harus dikekalkan. Jika tidak, kita akan terus bersaing sesama sendiri dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, kewujudan kartel yang menggunakan nama beberapa syarikat bagi menguasai tender, walaupun tidak terlibat secara langsung, telah menjejaskan ekosistem industri pembinaan.

Dalam pada itu, beliau turut mahu kontraktor Melayu menjadi simbol keunggulan dengan keupayaan menghasilkan projek berkualiti tinggi, siap mengikut tempoh ditetapkan serta mematuhi spesifikasi, sekali gus meningkatkan keyakinan sektor kerajaan dan swasta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-46,malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Sementara itu, Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz menyatakan persetujuan terhadap cadangan supaya proses penyaringan lebih ketat dilaksanakan ke atas kontraktor berdaftar, khususnya bagi membanteras penguasaan kartel dalam sektor pembinaan.

“Kami yakin kebanyakan yang terlibat dengan kartel ini bukan kontraktor tulen, sebaliknya hanya meminjamkan lesen. Apabila saringan dibuat, mereka boleh dikesan dan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen boleh diambil,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, daripada lebih 60,000 kontraktor berdaftar, hanya 26,614 dikenal pasti aktif ketika ini, sekali gus membuktikan keperluan saringan menyeluruh bagi memastikan integriti dan kelestarian sektor pembinaan negara terus terpelihara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE