fb fb fb fb fb

PM sampaikan takziah susulan serangan di Sydney

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 15 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden serangan di Sydney dan mendoakan mereka yang cedera agar segera pulih sepenuhnya.

“Saya merakamkan ucapan takziah setulus hati kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera agar segera sembuh,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook.

Perdana Menteri berkata beliau amat terkejut dengan serangan berkenaan yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan ramai lagi serta mengecam tindakan itu sekeras-kerasnya.

“Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan terhadap orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama, sama ada pada bila-bila masa atau di mana-mana. Tindakan sedemikian tidak mempunyai asas dalam mana-mana agama atau kepercayaan.

"Malaysia menyatakan pendirian tegas untuk berdiri bersama rakyat dan Kerajaan Australia dalam menghadapi situasi sukar ini, serta menyokong sepenuhnya segala inisiatif dan tindakan yang dilaksanakan bagi mengenal pasti pihak terlibat dan memastikan keadilan ditegakkan menurut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE