fb fb fb fb fb

Motosikal penambang Thailand tidak lagi dibenar lepasi ICQS Bukit Kayu Hitam

Peraturan itu dilaksana bagi mengelakkan risiko keselamatan, termasuk penyeludupan barang terlarang

BUKIT KAYU HITAM, 15 Disember -Motosikal penambang Thailand yang membawa penumpang dari negara itu ke Malaysia kini tidak lagi dibenarkan melepasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Mereka hanya dibenarkan membawa penumpang sehingga ke kompleks tersebut dan perlu menurunkan penumpang di kawasan berkenaan.

Langkah itu dilaksanakan bagi mengelakkan risiko keselamatan, termasuk penyeludupan barang terlarang dan kemalangan jalan raya.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semua penumpang perlu turun untuk menjalani pemeriksaan pasport dan pas sempadan.

"Pemeriksaan berkenaan dilaksanakan oleh pegawai agensi penguat kuasa di kompleks tersebut.

Selepas urusan pasport dan pemeriksaan bagasi selesai, penumpang boleh meneruskan perjalanan melalui laluan pejalan kaki yang ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan teksi yang beroperasi di kawasan berkenaan ke kenderaan masing-masing atau ke destinasi yang dituju.

Sementara itu, beliau memaklumkan, aktiviti motosikal penambang Thailand masih aktif dan beroperasi secara konsisten setiap hari.

"Dalam Operasi Harian yang dijalankan oleh AKPS bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (RELA) dari 5 hingga 13 Disember, sebanyak 266 motosikal penambang Thailand telah diperiksa.

Semua motosikal berkenaan diarahkan berpatah balik ke negara asal sebaik tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam," katanya.

Sebelum ini, motosikal penambang Thailand membawa penumpang melepasi ICQS Bukit Kayu Hitam sehingga ke Kompleks Darul Qiyyam, Changlun dan kawasan sekitar.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN