fb fb fb fb fb

Sarawak umum peruntukan RM200 juta baik pulih sekolah, klinik daif

Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA

KUCHING, 22 Jun- Kerajaan Sarawak mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membangunkan semula sekolah dan klinik daif di negeri itu khususnya di kawasan luar bandar.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah itu diperuntukkan sebagai inisiatif pembiayaan terlebih dahulu oleh Sarawak bagi projek Persekutuan di negeri itu dan dijangka mengambil masa kira-kira 18 bulan.

“Sarawak telah sedia peruntukan RM100 juta bagi kerja baik pulih sekolah daif dan RM100 juta lagi untuk klinik daif, ia akan dilaksanakan dalam masa 18 bulan.

"Melalui inisiatif (pembiayaan terlebih dahulu) ini, kita boleh mempercepatkan pelaksanaan projek. Sarawak boleh mendahulukan peruntukan dan kemudian kerajaan Persekutuan akan bayar (semula)," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Gawai Dayak peringkat negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin negeri Sarawak yang lain.

Pada 30 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek Persekutuan di negeri itu bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Kerjasama berkenaan bakal melakar sejarah dengan pelaksanaan projek Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI