fb fb fb fb fb

Kestabilan politik, dasar jelas jadikan Sarawak gergasi ekonomi baharu Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

KUCHING, 22 Jun- Kestabilan politik dan dasar jelas yang dipegang oleh kepimpinan Sarawak membolehkan negeri itu bangkit sebagai gergasi ekonomi baharu di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sarawak juga terus melonjak bukan sahaja dalam bidang tenaga, solar, hidrogen dan tenaga hijau, malah dalam bidang-bidang baharu seperti transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sekuriti makanan sekali gus menyumbang kepada kecenderungan pelabur luar untuk datang ke negara ini.

"Seperti yang anda maklum beberapa bulan ini saya melawat ke negara-negara luar dan berjumpa pelabur berpotensi yang mengenali Malaysia.

"Saya juga terima dengan yakin dan bangga bahawa Sarawak dilihat sebagai hab utama ekonomi wilayah," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak 2024 di sini.

Beliau turut menyatakan Sarawak memperoleh jumlah pelaburan yang tertinggi dalam sejarah pada tahun lepas.

Pada masa sama Perdana Menteri mahu Sarawak menggunakan teori ekonomi baharu untuk mencapai kejayaan.

Selain itu, kepemimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kabinet negeri menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan dasar yang jelas itu benar-benar difahami serta dilaksanakan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI