KUCHING, 22 Mac- Sarawak tidak berdepan dengan masalah kekurangan air berikutan sumber sedia ada dikawal penuh oleh kerajaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata sumber air di negeri itu mencukupi kerana mempunyai hujan tahunan yang tinggi dan sumber air tawar serta tidak dikongsi dengan negara jiran.
Namun katanya, penggunaan sumber air harus diurus dengan baik dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan medianya sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2024 di Kuching hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Julaihi berkata tema 'Air untuk Keamanan’ selari dengan inisiatif Sarawak ke arah pengurusan air bersepadu untuk memastikan penggunaan air yang mampan di negeri itu selain pengairan dan kuasa hidro yang memberi manfaat pada masa hadapan.