fb fb fb fb fb

Sarawak rancang wujudkan Pusat Pengajian Bahasa Iban

Datuk Douglas Uggah berucap pada Majlis melancarkan Kamus Terjemahan English-Iban Institusi Pendidikan Guru Kampus Rajang

KUCHING, 25 Januari- Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sarawak untuk mewujudkan Pusat Pengajian Bahasa Iban.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas berkata, ini bagi menampung keperluan pensyarah dan guru-guru Bahasa Iban yang masih belum mencukupi.

Beliau berkata, tawaran program berkaitan di institut pengajian tinggi di negeri berkenaan membolehkan anak Sarawak mendapatkan latihan dalam Bahasa Iban, sekali gus melahirkan lebih ramai golongan pendidik dalam bidang tersebut.

"Setakat ini, hanya Universiti Pendidikan Sultan Idris, universiti awam yang menyediakan Program Pendidikan Bahasa Iban.

"Bagaimanapun, institusi itu turut berdepan masalah kekurangan pensyarah Bahasa Iban,"katanya.

Menurut Datuk Douglas, ketiadaan pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Opysen Bahasa Iban oleh KPM dua tahun berturut-turut bermula tahun 2021 turut menjadi kerunsingan.

Katanya, jika tidak ditangani, ia boleh melumpuhkan pendidikan Bahasa Iban yang telah dilaksanakan sejak tahun 1963.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Kamus Terjemahan English-Iban Institusi Pendidikan Guru Kampus Rajang.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mahu golongan cendekiawan Iban untuk terus menghasilkan penerbitan berbentuk ilmiah.

Langkah itu amat signifikan untuk mengangkat martabat bahasa Iban agar setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE