KUALA LUMPUR, 25 Januari- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat di Surau Utama Istana Negara.
Keberangkatan Seri Paduka disambut anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta kerabat Diraja Pahang.
Majlis sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil serta doa selamat yang dipimpin Penolong Pegawai Agama Istana Negara Ustaz Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disusuli solat Maghrib secara berjemaah.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seri Paduka bakal menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari ini.