KUCHING, 25 Januari- Sebanyak 21 sekolah di Parlimen Santubong menerima Inisiatif Sarapan Pagi Pelajar SPM 2024.
Inisiatif bawah tajaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu membabitkan peruntukan RM5,000 untuk setiap sekolah dengan setiap seorang pelajar menerima RM50.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, inisiatif tersebut sebenarnya sudah ada sebelum ini, namun ianya kurang teratur dan tidak berapa lancar.
"Sebelum ini, peruntukan itu berfasa dan tidak berapa lancar daripada segi pembahagian, tetapi Alhamdulillah tahun ini kita akan teruskan seperti biasa, dengan lebih teratur," katanya selepas hadir menyerahkan simbolik insiatif Sarapan Pagi Anak SPM dan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SMK Santubong.
Pada majlis berkenaan seramai 104 pelajar SPM SMK Santubong menerima inisiatif tersebut.
Datuk Seri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, parlimennya konsisten memberi bantuan kewangan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta untuk meringankan beban ibu bapa.
Bantuan kewangan berkenaan juga bagi memudahkan pelajar membeli alat pelajaran diperlukan dan jumlah bantuan bergantung kepada lokasi penerima melanjutkan pelajaran.