LUBOK ANTU, 6 Oktober - Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2 juta bagi memperkukuh pelbagai sektor pembangunan di kawasan Batang Ai, termasuk sektor pelancongan yang dikenal pasti mempunyai potensi besar.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Batang Ai mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kawasan tersebut.
“Saya percaya ramai pelancong datang bukan sahaja untuk melihat Empangan Hidroelektrik Batang Ai, tetapi juga menikmati keindahan alam semula jadi di Lanjak Entimau. Tarikan semula jadi inilah yang menjadikan Batang Ai berpotensi menjadi pemangkin baharu pembangunan pelancongan di sini,” katanya.
Beliau turut menyeru pemimpin dan ketua masyarakat setempat supaya berganding bahu merangka strategi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Batang Ai.
“Apabila Lapangan Terbang Spaoh siap kelak, perjalanan ke kawasan ini akan menjadi lebih singkat. Inilah yang kita sebut sebagai satu pakej lengkap yang akan memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang dan komuniti setempat, termasuk tarikan pelancongan di Lanjak Entimau,” ujarnya.
Tan Sri Abang Johari berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Empangan Elektrik Batang Ai, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili serta Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.