KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia menyambut baik sebarang langkah yang membuka jalan ke arah perdamaian di Gaza.
Beliau turut menyeru agar serangan dihentikan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan kepada mereka (penduduk Gaza) yang amat memerlukan.
“Tragedi ini telah tersemat dalam nurani kemanusiaan sejagat. Keamanan yang berkekalan tidak akan datang dalam sekelip mata, tetapi ia mesti bermula dengan keberanian untuk menghentikan pertumpahan darah dan menjunjung kesucian nyawa manusia,” katanya dalam ucapan khas di Forum Megatrends Khazanah 2025, di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin akan terus utuh, seiring dengan pendirian negara yang sentiasa menegakkan prinsip kemanusiaan, keadilan dan solidariti global.
Beliau turut menekankan komitmen Malaysia yang berdiri teguh dalam solidariti bersama semua peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang berani dan berdedikasi, serta semua pihak yang terus berusaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan demi menjamin hak rakyat dan kedaulatan Palestin.
“Setakat 4 Oktober, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel,” ujarnya.
Misi yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara itu, telah memulakan pelayaran menuju ke Gaza sebagai tanda solidariti serta usaha untuk memecahkan sekatan rejim Israel.
Bagaimanapun Israel bertindak menyerang, menghalang dan menahan aktivis terlibat daripada memasuki Gaza.