KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Peningkatan pendapatan HRD Corp menerusi Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 dengan lebihan RM1 juta, akan disalurkan sepenuhnya bagi latihan golongan pekerja gig.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu selaras dengan mandat HRD Corp dalam memperluas perlindungan sosial kepada segmen berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan modal insan di rantau ini.
Golongan itu dilihat mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa depan.
"Pekerjaan gig mungkin memberikan mereka pendapatan segera, namun tahap pendidikan dan kemahiran yang dimiliki masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Ia sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk membina kerjaya jangka panjang.
"Keadaan ini bukan sahaja merugikan individu berkenaan, malah turut menjejaskan aspirasi negara untuk membangunkan ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan pertumbuhan pesat, teknologi tinggi dan nilai tambah yang besar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Acara tahunan anjuran HRD Corp itu menghimpunkan lebih 3,000 delegasi tempatan dan antarabangsa termasuk pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar global.
NHCCE mengetengahkan lebih 30 penceramah antarabangsa dan tempatan, termasuk Dr. Michio Kaku, ahli fizik teori dan futuris terkenal dunia David Coulthard, bekas pelumba Formula 1 serta tokoh tempatan seperti Datuk Sri Idris Jala dan Datuk Nicol David.
Turut dimaklumkan, HRD Corp telah mengutip RM6.17 bilion levi sejak 2023, dengan 94 peratus daripadanya dibelanjakan untuk melatih hampir empat juta pekerja di seluruh negara.
Sebanyak RM25 juta turut diperuntukkan khusus bagi latihan AI dan teknologi maklumat (IT) yang memanfaatkan lebih 20,000 pekerja, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa tenaga kerja sedia masa depan.