KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Presidennya, Dato’ Dr. Hj Adnan Mat dalam satu kenyataan media berkata, sebagai penjawat awam, setiap individu perlu menjaga integriti, maruah dan imej perkhidmatan awam selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Penyertaan dalam majlis yang boleh mencemarkan nama baik jabatan atau kerajaan perlu dielakkan sama sekali.
Beliau menasihati agar mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan ke majlis makan malam atau jamuan, agar mengesahkan terlebih dahulu dengan penganjur sama ada minuman keras dihidangkan. Jika ragu atau terdapat pengesahan, penjawat awam dinasihatkan menolak jemputan itu dan segera memaklumkan kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut.
CUEPACS turut menggesa sektor swasta dan industri agar menghormati sensitiviti budaya dan agama, terutama apabila menganjurkan majlis rasmi yang turut dihadiri penjawat awam. Sebagai sebuah negara majmuk, penganjur diminta peka terhadap nilai moral dan budaya Malaysia.
Kongres itu turut menyeru semua agensi kerajaan agar lebih berhati-hati dalam memilih program yang disertai demi menjaga imej serta persepsi rakyat terhadap penjawat awam. CUEPACS menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan penjawat awam kekal berdisiplin dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat.