fb fb fb fb fb

Pemetaan geobencana, pengawasan paip gas diperketat elak insiden berulang

Yusuf Abdul Wahab

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kerajaan diminta mempercepat usaha pemetaan geobencana nasional di semua jajaran utama paip gas di seluruh negara bagi mengelak insiden letupan seperti Putra Heights berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi (IPK), Yusuf Abdul Wahab turut mengesyorkan kerajaan memperkukuh pengawasan talian paip gas melalui teknologi pemantauan satelit, geopick dan sistem pengesanan masa nyata di kawasan berisiko tinggi.

"Selain itu, perlu diperketat prosedur kelulusan pembangunan berhampiran jajaran paip gas dengan mewajibkan penglibatan dan pandangan teknikal daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), PETRONAS Gas Bhd (PGB) dan pihak berkuasa berkaitan.

"Kemudian, mewujudkan prosedur bantuan dan pampasan mangsa insiden infrastruktur kritikal yang jelas, telus dan konsisten termasuk mekanisme rayuan. Seterusnya, menambah baik sistem amaran awal termasuk pemasangan siren di kawasan berpendudukan tinggi berdekatan infrastruktur kritikal," jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Manis berkata demikian ketika membentangkan syor-syor jawatankuasa IPK selepas meneliti laporan siasatan insiden Putra Heights yang dijalankan agensi-agensi berkaitan.

Jawatankuasa IPK turut mencadangkan agar latihan kecemasan bersama komuniti setempat dan agensi keselamatan dijalankan secara berkala selain menubuhkan tabung bencana infrastruktur kritikal bagi membantu mangsa terkesan.

"Mengkaji semula perundangan sedia ada bagi memastikan aspek keselamatan infrastruktur kritikal diberi perlindungan lebih kukuh dan menutup jurang tanggungjawab undang-undang.

"Memperkenalkan piawaian berkala lebih ketat terhadap semua talian paip gas dan utiliti kritikal termasuk audit keselamatan bebas secara tahunan. Menubuhkan mekanisme penyelarasan tetap antara agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan keberkesanan tindak balas pertindihan kuasa.

"Meningkatkan kesedaran awam dan pendidikan komuniti di kawasan berhampiran infrastruktur kritikal agar penduduk mengetahui risiko awal dan langkah keselamatan yang perlu diambil," jelas beliau lagi.

Selain itu, Yusof turut berpandangan insiden letupan Putra Heights menjadi amaran penting kepada negara bahawa faktor alam sekitar, teknikal dan pembangunan setempat perlu ditangani secara menyeluruh agar insiden seumpama tidak akan berulang lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI