BINTULU , 14 Januari- Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab tenaga serantau dengan penghantaran pertama sebanyak 20,000 tan metrik metanol oleh Sarawak Petchem Sdn Bhd ke China.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memaklumkan projek tersebut bermula empat tahun lalu dengan pelbagai cabaran, terutamanya aspek pembiayaan dan teknologi.
Beliau turut memuji pembinaan jeti eksport sepanjang tiga kilometer yang kini membolehkan penghantaran metanol ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Rasmi Pelepasan Kargo Eksport Metanol Sarawak Petchem dan Majlis Pecah Tanah Projek Metanol Hijau di Tanjung Kidurong, pagi tadi.
Abang Johari turut mengumumkan pelancaran Projek Metanol Hijau sebagai langkah strategik ke arah pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Metanol hijau tersebut akan dihasilkan melalui gabungan karbon dan hidrogen, menggunakan sumber tenaga seperti solar dan hidro.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri Aziz Husain, menjelaskan metanol hijau akan menjadi bahan api marin yang mampan serta mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Menerusi pencapaian itu, Sarawak semakin hampir untuk merealisasikan visinya sebagai peneraju tenaga hijau di peringkat global.