KUCHING, 14 Januari- Universiti Malaysia Sarawak UNIMAS hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman MoU dengan Komuniti Lada Antarabangsa IPC.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, berkata menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan terus memperkukuh, mempromosi, dan membangunkan kerjasama antara IPC dan UNIMAS, khususnya melalui Fakulti Ekonomi dan Perniagaan FEB.
Kerjasama tersebut akan dilaksanakan berdasarkan prinsip kesamarataan dan manfaat bersama dalam bidang pengetahuan perniagaan, kerjasama, korporat, dan penyelidikan sepanjang tempoh tiga tahun dari tarikh MoU ditandatangani.
Beliau berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara UNIMAS dan IPC di Kuching hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif IPC, Firna Azura Ekaputri Marzuki, berharap agar UNIMAS dapat memanfaatkan jaringan pemain industri antarabangsa dengan pelbagai kepakaran yang boleh disalurkan melalui IPC.
Beliau turut menggalakkan UNIMAS untuk menjemput lebih ramai pemain industri terkenal antarabangsa bagi memberikan pengetahuan secara langsung kepada pelajar melalui kuliah dan seminar.
IPC dan pemain industri akan terus menyokong UNIMAS dalam usaha ini, memberi pendedahan kepada pelajar untuk menjalankan projek penyelidikan dalam bidang tertentu yang memerlukan pembangunan lanjut demi manfaat industri lada global.