Modi tamat lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

Foto BERNAMA

SEPANG, 8 Februari -Perdana Menteri India Narendra Modi berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri India Narendra Modi menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia dan berlepas dari KLIA petang tadi.
  • Modi menerima penghormatan istiadat termasuk kawalan kehormatan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja.
  • Anwar dan Modi menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman merangkumi pelbagai sektor kerjasama.
  • Hubungan kedua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif; perdagangan dua hala meningkat kukuh.

Pesawat khas membawa Modi dan delegasi berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 4.35 petang.

Hadir sama mengiringi dan mengucapkan selamat jalan ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan selaku menteri pengiring sepanjang lawatan berkenaan.

Beliau turut diberi penghormatan penuh istiadat termasuk kawalan kehormatan daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Kira-kira 100 pelajar antaranya dari Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Dengkil dan Sekolah Menengah Sains Banting, Selangor turut mengibarkan bendera Malaysia dan India bagi mengucapkan selamat jalan kepada Modi.

Selain itu, beberapa persembahan kebudayaan yang melambangkan kepelbagaian masyarakat di Malaysia turut dipersembahkan.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar dan Modi turut menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) serta dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara pada majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Pada sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana, Anwar berkata Malaysia dan India akan terus memperkukuh kerjasama susulan penaikan taraf hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024.

Hubungan ekonomi Malaysia-India terus menunjukkan momentum kukuh, yang menyaksikan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.

Eksport Malaysia pula berjumlah RM52.3 bilion (USD12.24 bilion) dan import sebanyak RM27.19 bilion (USD6.35 bilion) dengan barangan eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terutamanya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.