fb fb fb fb fb

Sarawak optimis sasaran ketibaan 4 juta pelancong mampu dicapai tahun ini

FOTO HIASAN

KUCHING, 22 Mac- Sarawak merekodkan ketibaan 750,768 pelancong dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 25.12 peratus berbanding tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah yang dicatatkan dalam tempoh tersebut pada 2023 ialah 600,037 orang.

Sebahagian besar ketibaan pelancong di Bumi Kenyalang dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini adalah pelancong asing iaitu seramai 447,903 orang.

Beliau memberitahu untuk bulan Februari sahaja, seramai 397,785 pelancong telah berkunjung ke negeri tersebut dengan 235,778 daripadanya adalah pelancong asing.

Lima negara yang menyumbang kehadiran tertinggi ialah Brunei, Indonesia, China, Singapura dan Filipina.

Sehubungan itu, beliau positif sasaran ketibaan empat juta pelancong untuk tahun ini akan dapat dicapai.

"Saya rasa kita akan dapat mencapai sasaran lebih awal, sekiranya dapat mencecah lima juta ia akan menjadi angka tertinggi yang pernah Sarawak capai. Saya tidak terkejut jika angka itu semakin menghampiri", katanya.

Rekod tertinggi ketibaan pelancong ke Sarawak ialah 4.6 juta orang pada 2019.

Dalam pada itu, Datuk Seri Karim memaklumkan Sarawak merekodkan RM1.93 billion resit pelancongan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.02 billion dicatatkan pada bulan lepas.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia 2024 di Kuching hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE