fb fb fb fb fb

PRIHATIN, Public Gold lancar wafer emas untuk Tabung Kasih PRIHATIN

Datuk Aizuddin Ghazali (kiri) dan Datuk Louis Ng pada Majlis Pelancaran Wafer Emas Prihatin

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Kumpulan Public Gold melancarkan wafer emas bagi mengumpul dana untuk aktiviti dan program yayasan berkenaan.

Wafer emas berbentuk hati dinamakan "Prihatin Duo Hearts" melambangkan kesucian dan keikhlasan hati pembeli dalam kalangan pengumpul tegar emas untuk menyumbang kepada Tabung Kasih PRIHATIN.

Pengeluaran terhad 40,000 unit dengan dua rekaan menarik emas berketulenan 999.9 itu cukup bermakna untuk dimiliki sebagai koleksi mahupun simpanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional Datuk Aizuddin Ghazali berkata malah, wafer emas tersebut boleh dijadikan simpanan jangka panjang selain sebagai hadiah yang boleh dipindah milik daripada satu generasi ke satu generasi.

“Penghasilan wafer emas 'Prihatin Duo Hearts' yang direka dalam bentuk hati ini diharapkan dapat menarik minat pengumpul emas tegar kerana rekaan berkenaan kali pertama dihasilkan.

“Rekaan hati ini dipilih kerana melambangkan kesucian dan keikhlasan hati pembeli, sedikit sebanyak hasil pembelian ini akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin,” katanya.

Sementara itu, Pengasan dan Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Louis Ng berkata, mereka bercadang untuk mengeluarkan rekaan ketiga selepas ini.

"Kita akan bincang dengan PRIHATIN untuk mungkin keluarkan rekaan ketiga, jadi ini akan jadi program berterusan kolaborasi dengan PRIHATIN, saya berharap peminat-peminat emas di seluruh Malaysia boleh sama-sama buat kerja amal Public Gold,"katanya.

Pelancaran Wafer Emas Prihatin itu disempurnakan oleh Puteri Raja Muda Perlis Tengku Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Jamulallail.

Dalam majlis yang sama, PRIHATIN turut mengadakan Majlis Iftar Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan bagi meraikan 350 anak-anak yatim, pelajar tahfiz serta ibu tunggal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa turut sama-sama memeriahkan majlis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE