fb fb fb fb fb

NACSA, MKN saran pengguna perkukuh keselamatan siber

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pemasangan perisian antivirus yang sah pada peranti pengguna selain melaksanakan penukaran kata laluan kepada yang lebih kukuh.

NACSA dalam satu kenyataan berkata, perkara itu bagi mengelakkan ancaman keselamatan siber dalam kalangan pengguna.

"Situasi keselamatan siber negara mendapati peningkatan insiden keselamatan siber di Malaysia sehingga Februari 2024 dan diperhatikan juga trend yang sama direkodkan di peringkat global.

"Pelaku menyasarkan laman sesawang, sistem dalam talian, rangkaian dan aplikasi milik organisasi swasta dan kerajaan di Malaysia yang berprofil tinggi dan mempunyai kerentanan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun agensi dan organisasi yang terkesan terutamanya dari National Critical Information Infrastructure (NCII) secara proaktif telah melaporkan insiden-insiden tersebut kepada NACSA bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan.

NC4, NACSA dalam masa sama telah mengeluarkan dua khidmat nasihat dan amaran pada 26 Januari dan 12 Februari lalu untuk langkah berjaga-jaga yang perlu dilaksanakan oleh organisasi kerajaan dan swasta.

Tahap ancaman siber negara ditingkatkan dari rendah (hijau) ke sederhana (biru) bertujuan melaksanakan langkah proaktif dalam meningkatkan kesiapsiagaan organisasi dan agensi dalam melindungi aset kritikal daripada terkesan.

Daripada aspek perundangan dan kerjasama serantau, Rang Undang Undang Keselamatan Siber akan dibentangkan dalam Parlimen untuk menetapkan satu piawaian keselamatan siber yang perlu dipatuhi oleh NCII dan sebarang ketidakpatuhan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"NACSA sentiasa komited untuk memantau aktiviti ancaman siber negara melalui NC4 dengan menaik taraf keupayaan dan kapasiti sama ada dari aspek teknologi atau kepakaran agar kedaulatan dan keselamatan negara dapat dipelihara," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI