fb fb fb fb fb

Sarawak negeri terbaharu dilanda banjir

(Siaran media NADMA/Foto FB Rela Daerah Serian)

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Sarawak menjadi negeri terbaharu dilanda banjir manakala, keadaan di Kelantan, Terengganu dan Perak beransur pulih dengan penurunan jumlah penduduk terjejas yang dipindahkan, namun di Pahang dan Johor kekal, setakat pukul 7.00 pagi ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 2,097 penduduk terjejas direkodkan di keenam-enam negeri tersebut melibatkan pembukaan 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Sarawak merekodkan 16 orang daripada empat keluarga dari daerah Serian yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Melayu Balai Ringin.

"PPS berkenaan mula dibuka sejak semalam," jelas kenyataan itu.

Di Kelantan, penduduk terjejas banjir di tujuh PPS di Pasir Mas catat penurunan iaitu seramai 1,814 orang berbanding 2,019 orang semalam.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh menempatkan 712 orang daripada 226 keluarga, SK Gual Periok (516 orang,143 keluarga), PPS Kubang Gual (189 orang, 71 keluarga), PPS SK Sri Kiambang (164 orang, 52 keluarga), PPS Putat Tujoh (142 orang, 45 keluarga), PPS Masjid Mukim Padang Licin (57 orang, 18 keluarga) dan SK Kedai Tanjung menempatkan 34 orang daripada 10 keluarga," jelasnya.

Di Terengganu, keadaan sama turut dilaporkan dengan penurunan penduduk terjejas kepada 20 orang pagi ini berbanding 37 orang semalam.

"Kesemua penduduk dari Kuala Terengganu itu ditempatkan di PPS SK Atas Tol melibatkan lima buah keluarga," jelasnya.

Dalam pada itu, situasi banjir di Perak juga beransur pulih dengan mencatatkan 15 orang pagi ini berbanding 21 orang semalam.

Kesemua mereka daripada tujuh keluarga dari daerah Hilir Perak itu ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat.

Menurut kenyataan NADMA, Pahang kekal mencatatkan 141 penduduk terjejas daripada 36 keluarga dari daerah Pekan yang ditempatkan di PPS SK Sinar Mutiara.

Di Johor, keadaan sama turut dilaporkan iaitu kekal 91 penduduk terjejas di daerah Segamat dan Mersing.

Di Segamat, PPS Balairaya Kampung Batu Badak menempatkan 34 orang daripada 11 keluarga, PPS Balairaya Kampung Kuala Paya (27 orang, enam keluarga) dan PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 orang daripada empat keluarga.

"Sementara di Mersing, satu PPS masih dibuka iaitu PPS Sekolah Agama Pengkalan Batu yang menempatkan 16 orang daripada tiga keluarga," jelas kenyataan itu.

(Foto FB Rela Daerah Serian)

 

 

Media Baharu