KUCHING, 1 Mac- Sarawak Metro Sendirian Berhad telah melantik PPES Consults Sendirian Berhad PCSB sebagai Rakan Pelaksana Projek, (PDP) untuk melaksanakan pembangunan Pakej 2 Laluan Hijau (Green Line) Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Sarawak Metro menerusi satu kenyataan memaklumkan, Pakej 2 Green Line melibatkan pembinaan 20 kilometer (km) laluan Autonomus Rapid Transit (ART) dari bulatan Yayasan Sarawak ke Damai Central selain pembinaan tiga stesen ART sepanjang laluan berkenaan.
Surat lantikan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Teknologist Mazli Mustaffa kepada Pengarah Bertanggungjawab bagi PCSB Insenior Doktor Ting Sie Chun dalam satu majlis ringkas di Kuching pada Rabu lepas.
KUTS dibangunkan secara berfasa dengan fasa 1 melibatkan tiga laluan; Laluan Biru sepanjang 27.6 km dari Rembus Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di Kuching, laluan Merah sepanjang 12.3 km dari Kuching Sentral ke Pending dan laluan Hijau sepanjang 30 km dari Pending ke Damai.
Pakej 1 Laluan Biru dan depo Rembus dijangka siap pada suku ke-4 2025 manakala keseluruhan Pakej 1 dijadual pada penghujung 2027.