fb fb fb fb fb

SMC tersenarai dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai 250 hospital terkemuka dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024.

SMC dalam kenyataannya memaklumkan ia merupakan kali pertama hospital Malaysia diletakkan pada posisi dalam ranking tersebut berdasarkan bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi dalam kalangan hospital di seluruh dunia.

Ranking 2024 dibuat berdasarkan tinjauan global komprehensif yang dijalankan dalam kalangan doktor, pengamal penjagaan kesihatan profesional dan para pentadbir merentasi empat benua, serta data daripada tinjauan pesakit dan metrik kualiti hospital.

Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long berkata mereka amat berbesar hati kerana telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia.

"Kami amat berbesar hati kerana SMC, walaupun boleh dianggap hospital yang masih hijau, telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia dalam ranking yang membariskan nama-nama seperti Mayo Clinic (Amerika Syarikat), Hospital Besar Singapura, Hospital Diraja Prince Alfred (Australia) dan Hospital Universiti Tokyo (Jepun),"katanya dalam kenyataan tersebut.

Dari 30 negara yang terdiri daripada 2,400 hospital yang disenarai pendek, termasuk hospital awam, hospital pengajar universiti dan pusat perubatan swasta, hanya 250 hospital terkemuka disenaraikan dalam senarai global.

Ditubuhkan pada 1999, SMC merupakan hospital kuarterner swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti 724 katil berlesen dan terdiri daripada lebih 40 bidang kepakaran. Ia juga mendapat akreditasi daripada The Australian Council on Healthcare Standards.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE