JOHOR BAHRU, 1 Mac- Seramai 4,398 orang termasuk 15 penjawat awam diberkas menerusi Ops Pemutihan dan Ops Tapis yang dilaksanakan di seluruh Johor dari Januari hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata lebih 150 kilogram dadah, 8,532 pil esktasi dan erimin, 1,027.75 liter serta lebih 35,000 gram daun ketum dirampas sepanjang operasi itu.
Katanya, ia melibatkan nilai rampasan sebanyak RM6.98 juta dengan nilai sitaan RM3.56 juta.
"8,273 orang diperiksa sepanjang operasi berkenaan dan daripada jumlah itu, 3,012 orang yang ditahan merupakan penagih dadah, 954 individu memiliki dadah dan 485 kes lagi terlibat dengan bekalan dadah. Turut diberkas adalah 209 warga asing yang terlibat pelbagai kes dadah. Semua yang ditahan berusia 18 hingga 70 tahun,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, 141 individu yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seramai 624 orang berstatus dikehendaki turut ditahan dalam operasi tersebut.
66 orang lagi bergelar tokan dadah ditahan dan diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah pencegahan khas) 1985.