BETONG, 4 Disember- Kerajaan Sarawak telah meluluskan kenaikan kadar bantuan bencana, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana alam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antaranya bantuan segera secara sekali beri yang merangkumi wang saku dinaikkan kepada RM200 seorang, berbanding RM100 sebelum ini.
Bantuan segera lain seperti pakaian harian ditingkat kepada RM300, makanan kering dinaikkan kepada RM100 seorang dan kadar baharu bantuan kelengkapan tidur ialah RM200 seorang.
Katanya, bagi bantuan persekolahan iaitu pakaian sekolah ditingkat kepada RM300 seorang manakala peralatan sekolah pada kadar baharu sebanyak RM200 seorang.
Kadar baharu bagi bantuan peralatan dapur ialah RM1,000 bagi satu rumah.
Bagi bantuan kepada mangsa yang terputus hubungan makanan kering dinaikkan kepada RM100 untuk satu pek seorang bagi tempoh seminggu.
Ia diberi secara sekali beri untuk mangsa kebakaran, ribut, tanah runtuh dan bencana lain kecuali kemarau.
Datuk Seri Fatimah menyatakan demikian pada Majlis Perasmian Kesiapsiagaan Bencana Peringkat Negeri di Dewan Perpaduan Debak di Betong hari ini.