fb fb fb fb fb

Sarawak lokasi strategik lancar satelit ke ruang angkasa

Timbalan Premier Datuk Douglas Uggah Embas membacakan teks ucapan Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman / FOTO UKAS

SRI AMAN, 16 September- Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti Sarawak sebagai lokasi strategik untuk melancarkan satelit ke ruang angkasa.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedudukan Sarawak yang berdekatan dengan garis khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negeri itui kerana ia meningkatkan daya tolak satelit semasa pelancaran.

Ini membolehkan satelit dilancarkan dengan lebih efisien berbanding kawasan-kawasan lain yang lebih jauh dari garis khatulistiwa.

Justeru beliau mahu Sarawak membuat persediaan dari segi penyediaan tenaga mahir untuk menyokong bidang aeroangkasa.

Ini termasuk membuka peluang latihan dan pendidikan dalam bidang ini di pusat-pusat pengajian milik Sarawak, seperti CENTEXs.

Dengan langkah tersebut, ia dapat membangunkan kepakaran tempatan yang diperlukan untuk menyokong industri aeroangkasa dan memanfaatkan potensi Sarawak sebagai hab pelancaran satelit yang penting.

Sementara itu, Tan Sri Abang Johari memaklumkan, kerajaan negeri yakin semua perkara bawah Perjanjian Malaysia 1963 MA63 akan diselesaikan selagi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah boleh duduk sama untuk berbincang dalam suasana yang berpandukan kepada konsep Malaysia MADANI.

Beliau berkata saling hormat menghormati antara ketiga- tiga wilayah juga kunci kepada kejayaan menyelesaikan tujuh daripada 11 tuntutan MA63 baru-baru ini.

Justeru beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat keputusan untuk mengagihkan sebanyak RM600 juta setahun daripada RM300 juta sebagai
pemberian khas secara interim kepada Sarawak dan Sabah seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Permintaan Sarawak berdasarkan MA63 adalah usaha untuk memperbetulkan dan menunaikan hak dan keistimewaan Sarawak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian MA63.

Beliau menyatakan demikian dalam amanatnya pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman hari ini.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Premier Datuk Douglas Uggah Embas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE