KUCHING, 14 September - Sarawak bakal menambah satu lagi institusi penting dalam landskap warisan negeri dengan pembinaan sebuah Muzium Sejarah Pentadbiran Sarawak di Kuching, yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Mendedahkan perkara tersebut, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebuah bangunan di bandar raya ini akan diubah suai untuk dijadikan muzium baharu yang mengkhususkan kepada perjalanan sejarah pentadbiran Sarawak sejak zaman Kesultanan Brunei hingga era moden.
"Emphasis adalah dari sudut pemerintahan dan pentadbiran Sarawak dari kesultanan Brunei dan selepas itu, ke era Brooke seratus tahun tahun, lepas itu, Koloni daripada 46 hingga 63 lepas itu, Malaysia apabila Malaysia ditubuhkan", katanya.
Datuk Patinggi berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutupan Program Bermalam di Muzium di Muzium Budaya Borneo, di sini.
Muzium baharu itu akan melengkapkan jaringan muzium sedia ada di Sarawak seperti Muzium Budaya Borneo, Muzium Alam Semula Jadi dan muzium-muzium daerah.
Premier berkata, penyelidikan menyeluruh diperlukan bagi memastikan setiap pameran yang ditampilkan adalah sahih dan berasaskan fakta akademik.
Tambannya, selain di Kuching, Sarawak turut mempunyai muzium berfokus di daerah lain seperti Muzium di Simanggang yang menampilkan sejarah perjuangan menentang komunisme serta Muzium di Kapit yang mengetengahkan hubungan dan keamanan antara kaum Iban dan Orang Ulu.