fb fb fb fb fb

Saran tapak perkhemahan berisiko ditutup sementara - Ahmad Zahid

(FOTO BERNAMA)

BATANG KALI, 16 Disember- Semua tapak perkhemahan di kawasan berisiko seperti berhampiran cerun dan sungai, disaran ditutup sementara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu bagi mengelakkan bencana geologi berulang.

Ia juga seiring ramalan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan hujan lebat berterusan selama lima hari, mulai esok.

Beliau juga berkata orang ramai perlu menangguhkan cadangan beriadah di tapak perkhemahan, terutama di tempat berisiko.

"Saya minta kawasan percutian yang terdapat di beberapa kawasan agar dapat dikosongkan, maksudnya yang berada di tepi sungai mulai esok, yang dikhuatiri hujan lebat akan turun terutama di kawasan pantai timur semenanjung di mana kita khuatiri hujan lebat berlaku kepala air akan turun di hulu sungai dan ini mungkin akan berlaku aliran air sungai yang kuat," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat menyatakan perkara itu selepas mengadakan lawatan di lokasi tanah runtuh, di sini hari ini.

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendengar taklimat ketika tiba lokasi
kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm Batang Kali hari ini/FOTO BERNAMA)

Tambah Ahmad Zahid, agensi kerajaan akan mengkaji semula seluruh aspek operasi tapak perkhemahan di kawasan cerun dan berhampiran sungai.

Keputusan itu susulan saranan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Galian (JMG) bagi mengelak bencana geologi daripada berulang.

Perincian garis panduan baharu bagi operasi premis terbabit akan dikemuka agensi penguat kuasa dan pihak berkaitan.

Media Baharu