KOTA BHARU, 22 Disember - Pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada rakyat terbukti mampu membantu menampung keperluan harian, terutama ketika kenaikan kos sara hidup.
Bagi penduduk di negeri Kelantan, bantuan daripada Kerajaan MADANI itu merupakan yang terbaik dan mampu menjimatkan peruntukan perbelanjaan bulanan.
Bantuan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos perbelanjaan barangan keperluan asas, malah kaedah pelaksanaannya dengan menggunakan MyKad dilihat efektif dalam mencegah berlakunya ketirisan.
“Kalau dikira, memang terdapat pengurangan perbelanjaan kerana bantuan SARA yang diberikan kerajaan ini membolehkan saya membeli minyak masak serta barangan dapur, termasuk keperluan" harian", kata penerima, Zakaria Mohamed yang bekerja sendiri.
“Bantuan MySARA ini sangat membantu saya setiap bulan. Sebelum ini, perbelanjaan barangan dapur dan mandian mencecah RM200 sebulan, namun bantuan ini banyak mengurangkan beban tersebut", menurut suri rumah Hoo Bee Shieng.
“Bantuan ini meringankan beban perbelanjaan bulanan saya untuk membeli barangan dapur. Alhamdulillah, saya berharap kerajaan dapat meneruskan dan menambah baik bantuan MySARA pada tahun hadapan", kata Abdullah Said, yang bekerja sendiri.
“Perbelanjaan bulanan saya mencecah sekitar RM300 hingga RM400, namun bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkannya. Saya berharap bantuan SARA dapat diperluaskan, khususnya bagi pembelian barangan basah seperti ayam, sayur-sayuran dan telur", kata tukang masak, Nor Atiqah.
“Bantuan ini banyak membantu, terutamanya untuk membeli keperluan bayi seperti makanan dan lampin. Ia merupakan inisiatif yang baik daripada Kerajaan MADANI", ujar Pereka Grafik, Muhammad Naqib Mohd Azmir Pang.
“Sekiranya bantuan ini diteruskan, ia amat baik kerana walaupun jumlahnya tidak besar, ia tetap sangat membantu saya dan suami", kata peniaga kedai makan Hayati Abdullah.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kadar purata penggunaan SARA menghampiri 100 peratus.
Beliau berkata kerajaan tidak melihat cabaran besar dalam pelaksanaan SARA setakat ini, biarpun ia melibatkan jumlah transaksi besar lebih 20 juta pengguna.