fb fb fb fb fb

KPDN fokus kawalan harga 14 barangan keperluan sempena Krismas

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti barangan basah, kering serta sayur-sayuran sebagai fokus kawalan harga susulan peningkatan permintaan sempena musim perayaan Krismas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diperkenalkan sejak tahun 2000 kini memasuki tahun ke-25 pelaksanaannya dan melibatkan 14 barangan terpilih berdasarkan keperluan semasa sambutan Krismas.

Menurut beliau, KPDN akan menggerakkan pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi menjalankan pemeriksaan harian di pasar awam, pasar raya, pasar tani serta lokasi tumpuan pengguna.

“Antara kriteria utama pemilihan barangan kawalan adalah tahap permintaan semasa musim perayaan, jaminan rantaian bekalan yang stabil serta langkah pencegahan terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Selain itu, pegawai pemantau harga turut dilibatkan bagi memastikan pematuhan harga siling, di samping pemantauan aduan secara dalam talian yang dikendalikan oleh unit khas kementerian berkenaan.

“Kami mengalu-alukan sebarang aduan dan pandangan orang ramai. Setiap aduan yang diterima akan disiasat dalam tempoh 24 jam bagi memastikan pelaksanaan skim ini berjalan lancar,” jelasnya.

Tambah beliau, pelaksanaan skim berkenaan bertujuan menjamin keselesaan pengguna serta memastikan sambutan Krismas dapat diraikan tanpa dibebani isu kenaikan harga barangan keperluan.

Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas akan dilaksanakan selama lima hari bermula esok hingga 27 Disember 2025, bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan serta melindungi pengguna sepanjang musim perayaan.

AZRUL FAIZAL JUSOH