fb fb fb fb fb

SARA ringankan kos sara hidup, Perlis hampir capai penggunaan 100 peratus

Bandar Kangar, Perlis

KANGAR, 22 Disember - Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima rakyat Malaysia diibaratkan sebagai penyelamat ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Di Perlis, bantuan SARA memberi kelegaan ketara kepada rakyat apabila kadar penggunaannya dilaporkan menghampiri 100 peratus, melibatkan penerima daripada kumpulan B40 dan M40.

Seorang penerima, Mohd Afendy Mohd Hashim berkata bantuan itu membantu mengawal perbelanjaan harian keluarganya dengan memudahkan pembelian barangan keperluan asas.

“Dengan bantuan SARA ini, saya boleh beli barang keperluan yang dibantu kerajaan. Duit dimasukkan terus dalam MyKad, jadi lebih mudah digunakan dan banyak kedai yang menerima,” katanya.

Seorang warga emas, Lee Beng Huat pula berkata bantuan berkenaan digunakan untuk membeli barangan asas seperti beras dan keperluan penjagaan diri, sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan bulanan.

Kanimo­li A/P Kumaran yang bekerja di sebuah kedai aksesori sekolah berpendapat bantuan tersebut amat signifikan, terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Bantuan ini memang bagus untuk ramai orang, terutamanya keluarga dan rakan-rakan saya yang sangat memerlukannya,” katanya.
 
Pandangan sama dikongsi Tengku Izham Tengku Jaafar yang menyifatkan bantuan SARA mampu meringankan beban perbelanjaan harian walaupun bersifat sementara.

Sementara itu, Asiah Ahmad berkata inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Kerajaan sekarang banyak membantu masyarakat. Kami bersyukur dengan bantuan yang diberikan,” katanya.

AZRUL FAIZAL JUSOH