fb fb fb fb fb

Ibu bapa perlu pantau penggunaan gajet kanak-kanak

Penggunaan gajet yang kerap tanpa kawalan berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai / Foto Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Penggunaan gajet yang kerap tanpa kawalan berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai, memandangkan golongan itu mudah menyerap maklumat tanpa mampu membezakan antara baik dan buruk.

Sehubungan itu, ibu bapa disaran memainkan peranan lebih aktif dan inklusif dalam memantau penggunaan gajet serta media sosial dalam kalangan kanak-kanak, khususnya ketika trend penggunaan peranti digital semakin meningkat pada usia yang semakin muda.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Nordinah Mohd Kassim, kekangan masa ibu bapa yang bekerja tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pemantauan, sebaliknya pendekatan seperti penetapan had masa skrin perlu dilaksanakan secara konsisten di rumah.

“Kanak-kanak ibarat span, apa yang mereka lihat dan terima akan diserap sepenuhnya. Oleh itu, tanggungjawab utama terletak pada ibu bapa untuk menjelaskan mengapa sesuatu kandungan tidak sesuai, khususnya di platform media sosial seperti TikTok,” katanya.

Walaubagaimanapun, bagi kanak-kanak seawal usia tujuh atau lapan tahun, ibu bapa disaran menerangkan secara berperingkat tentang kandungan dewasa serta memastikan tontonan dilakukan bersama ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih matang.

Selain itu, beliau menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu disokong dengan peranan aktif ibu bapa di peringkat rumah, termasuk memberi penjelasan disertai sebab dan kesan terhadap larangan yang ditetapkan.

“Larangan tanpa penjelasan tidak berkesan. Anak-anak perlu faham sebab dan risiko, termasuk ancaman seperti eksploitasi seksual, sentuhan selamat dan tidak selamat, yang perlu diterangkan melalui simulasi atau role play mengikut peringkat usia,” jelasnya.

Beliau menekankan pendidikan keselamatan diri penting untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan, selari dengan cabaran semasa yang kompleks.

Bagi remaja 13 hingga 15 tahun, pemantauan gajet perlu digabungkan dengan pengurusan jadual seimbang antara pelajaran, aktiviti fizikal, sosial dan masa bersama keluarga.

“Remaja perlu disibukkan dengan aktiviti bermanfaat seperti bersukan atau tugasan rumah bagi mengurangkan kebergantungan kepada gajet dan membentuk disiplin,” katanya.

Pendekatan pendidikan digital berkesan bermula dari rumah melalui komunikasi berterusan, pemantauan berstruktur dan penglibatan ibu bapa.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN