fb fb fb fb fb

SARA bukti keprihatinan kerajaan, penerima luah rasa syukur

Foto RTM

JASIN, 1 April-Peluasan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula hari ini memberi kelegaan kepada golongan B40 khasnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan usaha itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani berhubung kesempitan hidup rakyat.

"Saya ingin ucapkan terima kaih kepada kerajaan kerana memperluaskan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada seluruh rakyat.

"Meskipun ada pihak yang memperlekeh inisiatif ini, bagi saya RM100 ini sangat membantu golongan memerlukan", jelasnya ketika ditemui RTM di sini.

Sementara itu, penerima SARA, Mohd Faid Ariffi menyifatkan bantuan berkenaan mampu mengurangkan beban dalam pembelian barangan dapur.

"Alhamdulilah, Inisiatif SARA membantu khususnya dalam pembelian barangan dapur.

"Dan ia amat membantu ketika gaji semakin susut", katanya.

Bagi Haliza Mahat pula, inisiatif SARA mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarganya lantaran suaminya yang tidak bekerja disebabkan uzur.

"Rasa gembira kerana SARA membantu keluarga memandangkan suami saya tidak lagi bekerja dan uzur.Sekurang-kurangnya ia membantu mengurangkan beban", jelasnya,

Terdahulu, Kerajaan MADANI mengumumkan peluasan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Kementerian Kewangan memaklumkan penerima yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding RM1,200 pada 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar, dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Menteri Kewangan itu berkata penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD