KOTA TINGGI, 8 Mei- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga kru kapal tangki MT Pablo yang hilang selepas ia terbakar minggu lalu akan diteruskan sekiranya terdapat petunjuk baharu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kawasan pencarian sudah diperluas, namun tiada petunjuk ditemui.
Ketika ini, pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Maritim Malaysia fokus mengesan punca kebakaran kapal tersebut.
Namun pasukan terlibat sentiasa bersedia jika mangsa ditemukan.
"Buat masa ini, berdasarkan keterangan saksi, mereka menyatakan mangsa masih berada di dalam kapal dan tak nampak mereka jatuh ke laut," katanya selepas merasmikan Operasi Redback ke-18 di Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini.
(Tangkap layar video SAR kapal MT Pablo yang dimuat naik di laman Tik Tok @acm_dinn)
Terdahulu, operasi ditangguhkan pada 7.00 malam 5 Mei lalu selepas tiada petunjuk baharu ditemui.
Mangsa yang hilang terdiri daripada dua warga India iaitu Satyam Tripathi dan Dinesh Kumar Chauhan, manakala seorang lagi warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi.
Kapal tangki MT Pablo berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lepas.