KUALA LUMPUR, 5 Februari- Cadangan membenarkan graduan asing bekerja sementara di negara ini akan mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja yang kronik.
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berkata, ini terutamanya melibatkan bidang kejuruteraan dan teknikal.
Menurut Presidennya Datuk William Ng, Pulau Pinang misalnya mengalami kekurangan 50,000 tenaga jurutera dan juruteknik.
Kekurangan tersebut turut merencatkan pertumbuhan dalam industri semikonduktor, pembuatan serta logistik.
Beliau juga menyifatkan, dakwaan pasaran kerja akan terjejas atau tenaga kerja tempatan bakal terpinggir, sebagai tidak berasas.
Sebaliknya, penyediaan bakat tambahan berkenaan akan meyakinkan pelabur asing dan domestik untuk kekal dan menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan lebih besar bagi rakyat Malaysia.
Jelasnya, visa pengambilan kerja selepas tamat pengajian lazimnya bersifat sementara, tidak boleh diperbaharui dan tertakluk kepada industri atau pekerjaan tertentu.
Bilangan penuntut asing dalam pengajian kejuruteraan dan teknikal juga kurang daripada 20,000 orang.
Beliau menganggarkan hanya 700 jurutera dan juruteknik yang boleh diambil bekerja, sekiranya separuh daripada jumlah itu tamat pengajian dan hanya 10 peratus memilih untuk bekerja dalam bidang sama.