SHAH ALAM, 5 Februari- Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong akan membincangkan kaedah-kaedah untuk meluaskan liputan perlindungan PERKESO terutamanya kepada pekerja sambilan dalam sektor media dan industri kreatif.
Menurutnya, seramai 30,000 pekerja dalam sektor tersebut yang bukan pekerja tetap sama ada pengamal media sambilan (stringer) atau bekerja sendiri (freelancer) perlu diberi perlindungan dan manfaat daripada Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"30,000 ini sebenarnya melibatkan pekerja contohnya stringer, bukan pekerja sepenuh masa, mereka ini kalau mencarum akan termasuk dalam caruman Pekerjaan Sendiri (SPS).
"Jadi kita mahu galakkan dan lihat bagaimana cara untuk membolehkan supaya semua 30,000 orang ini dapat dilindungi dan turut mendapat manfaat daripada Skim PERKESO,"katanya.
Steven juga telah menghubungi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mempunyai pendirian yang sama dan akan mengadakan pertemuan dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu perlindungan PERKESO.
"Sebab kita tahu terutamanya bagi pekerja industri media dan kreatif ini mereka bekerja waktu tidak menentu dan mereka terpaksa bekerja mungkin dalam keadaan kadang-kadang yang agak berbahaya, seperti liputan kalau ada kemalangan, kebakaran dan insiden yang mendedahkan pekerja-pekerja ini kepada bahaya.
"Jadi kita faham bahawa ada keperluan mendesak untuk memberikan perlindungan kepada kumpulan ini," katanya.
Steven ditemui media selepas mengadakan lawatan prihatin ke rumah petugas RTM, Marlia Mohamed, 43 tahun yang hilang upaya kekal selepas menderita jangkitan kuman di kaki akibat diabetes.
Lawatan prihatin Kementerian Sumber Manusia itu turut mendapat kerjasama daripada CSR PERKESO.
Menerusi CSR tersebut, Steven menyerahkan sebuah katil, kerusi roda dan barangan keperluan asas kepada Marlia.