fb fb fb fb fb

Bank Muamalat gerak kempen #GengSubuhMacamJumaat di empat buah negeri

FOTO BANK MUAMALAT

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyahut seruan kerajaan untuk meneruskan kesinambungan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan oleh selebriti tanah air, Alif Satar dengan menganjurkan program tersebut di empat buah negeri bermula Sabtu lalu.

Kempen pertama yang bermula di negeri Selangor telah berlangsung pada 2 Februari lalu dengan kerjasama Masjid At-Taqwa Bandar Bukit Mahkota, Bangi dan ia akan diteruskan di negeri Kelantan pada 16 Februari 2024 (Jumaat), Melaka pada 17 Februari 2024 (Sabtu) dan Pahang pada 24 Februari 2024 (Sabtu).

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya melihat usaha untuk menghimpunkan jemaah khususnya anak muda ke masjid dan surau itu sebagai satu inisiatif yang harus disemarakkan dan disambut baik oleh semua pihak khususnya sektor korporat berteraskan Islam.

“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat komited untuk menjadi bank pertama yang menyambut usaha murni ini melalui program tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) yang giat kami jalankan di seluruh negara.

“Tambahan pula, menjelang bulan Ramadan yang hampir tiba, program sebegini harus diluaskan supaya ia akan menjadi satu kilang pahala untuk diteruskan di bulan puasa dan bulan-bulan seterusnya nanti,” katanya.

Tambah Khairul, dengan komitmen untuk mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’, Bank Muamalat juga bercadang untuk memperluaskan program #GengSubuhMacamJumaat ini ke negeri-negeri lain.

Untuk maklumat lanjut berkenaan lokasi kempen #GengSubuhMacamJumaat oleh Bank Muamalat, anda boleh melayari laman media sosial rasmi Bank Muamalat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE