fb fb fb fb fb

i-Lindung Fasa 2 luaskan perlindungan ahli KWSP

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaksanakan penambahbaikan kepada inisiatif i-Lindung bawah Pelan Perlindungan Ahli.

i-Lindung Fasa 2 akan memfokuskan kepada pengurusan polisi dan sijil, bagi perlindungan lanjutan melebihi satu tahun.

Penambahbaikan tersebut merupakan kemajuan penting dalam evolusi platform i-Lindung, yang menggabungkan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan keluarga terdekat.

Ia menawarkan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan pengurusan polisi yang diperkemas dan pembayaran berulang yang mudah untuk perlindungan jangka panjang.

Sejak Julai 2022 hingga Disember 2023, lebih 102,301 ahli telah membeli 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung.

Ia meliputi insurans nyawa dan insurans penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2.

Bawah inisiatif berkenaan, ahli boleh menggunakan dana dalam Akaun 2 untuk membeli produk insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga.

Untuk maklumat lanjut mengenai i-Lindung, rujuk laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di talian 03-8922 6000.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE