PAROI, 4 April - Pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat sejak penularan COVID-19.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, terdapat institusi kerajaan serta swasta telah memperkenal pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, taranum dan hafazan secara dalam talian.
Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan juga melaksanakan Bengkel Akademi Taranum Negeri Sembilan (AKTAR) yang menjadi platform peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Negeri Sembilan tahun ini.
(Aminuddin berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz AL-QURAN
Peringkat Negeri Sembilan 1443H di Pusat Dakwah Islamiah, di sini)
"Lebih 140 sesi latihan secara dalam talian telah dilaksana bersama tenaga pengajar AKTAR bagi penambahbaikan kualiti tilawah dan hafazan para peserta," menurut Aminuddin.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat dan menyampaikan hadiah pada majlis tersebut.