SINTOK, 30 Januari - Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan 40 Program Utama bagi memeriahkan sambutan sempena 40 tahun pengasasan universiti dan Tahun Melawat UUM sepanjang 2024.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, antaranya program Homecoming Mega bersama alumni yang diadakan secara berterusan hingga kemuncaknya pada pertengahan November 2024.
Menurutnya lagi, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dijadual merasmikan sambutan Hari Pengasasan UUM pada 15 Februari dan akan menyertai program sambutan selama 2 hari di UUM.
Menteri KPT itu akan menetap bersama-sama pelajar di INASIS Proton pada 15 dan 16 Februari bagi menyertai aktiviti sambutan.
“Sempena dengan tarikh pengasasan yang penuh bermakna ini, pihak universiti akan menubuhkan Tabung Sumbangan 40 Tahun UUM yang setiap sumbangan serta jualan yang diperoleh akan disalur ke tabung tersebut. Hasil sumbangan ini akan disalurkan untuk membantu pelajar-pelajar UUM khususnya, dan staf yang memerlukan.
“UUM ditubuhkan pada 16 Februari 1984, dan kita menyambut Hari Pengasasan tahun ini dalam usia 40 tahun,” katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2024 pagi tadi.
Turut diadakan adalah Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah selaku Canselor UUM pada bulan April nanti bagi menghargai kakitangan yang berkhidmat lebih 25 tahun di UUM.
Program Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) pula akan berlangsung pada 6 hingga 14 September yang dijangka disertai 10,000 atlet dan staf IPT.
Acara sukan lain adalah Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM24) pada Mac, Sukan Bomba Malaysia 11-16 Julai (SUKBOM) dan Sukan Kebangsaan LHDN pada September.
Program lain yang dianjurkan sempena 40 tahun UUM termasuk aktiviti berbentuk karnival, seni dan budaya serta program akademik seperti simposium dan seminar yang memberi impak kepada komuniti dan warga akademia.