fb fb fb fb fb

Sambutan Deepavali di Kampung Jabor Perasing meriah, lambang perpaduan kaum

FOTO RTM

KEMAMAN, 20 Oktober – Sambutan Deepavali masyarakat India di Kampung Jabor Perasing, Kemaman sentiasa meriah setiap tahun kerana diraikan bukan sahaja oleh kaum India, tetapi turut disertai oleh kaum lain di kawasan tersebut.

RTM berkunjung ke kampung berkenaan bagi melihat sendiri kemeriahan sambutan Deepavali, yang jelas mencerminkan semangat perpaduan kaum.

Ketua Masyarakat India Kampung Jabor Perasing, Siva Kumar Sri Raman berkata beliau berasa bangga kerana setiap kali sambutan Deepavali diadakan, ramai tetamu daripada pelbagai kaum hadir, sekali gus membuktikan semangat perpaduan yang tinggi.

Menurut beliau, semangat tersebut menunjukkan usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan kaum berjaya diamalkan di kampung berkenaan.

"Saya suka sambutan Deepavali setiap tahun di sini kerana pelbagai kaum datang ke rumah saya. Mereka datang makan muruku, tose dan macam-macam lagi.

"Saya seronok sebab rakan-rakan dan jiran-jiran pun turut hadir termasuk kawan-kawan lama saya. Terima kasih kepada semua yang meraikan Deepavali bersama kami," katanya di sini.

Siva Kumar berharap semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung tersebut akan terus dikekalkan sehingga ke generasi anak cucu.

Sementara itu, pelajar yang juga anak saudara Siva Kumar, Thurgaashine Visvanathan berkata beliau berasa bangga melihat ramai tetamu daripada pelbagai kaum hadir ke rumah mereka untuk bersama-sama meraikan perayaan Deepavali.

"Selamat Deepavali! Hari ini kami meraikan perayaan Deepavali, dan rumah kami dikunjungi ramai tetamu daripada pelbagai kaum seperti Cina dan Melayu. Kami berasa sangat gembira dengan kemeriahan sambutan ini," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM