fb fb fb fb fb

Eksesais Aman Youyi 2025 tingkat kebolehoperasian bersama tentera Malaysia, China

Simulasi bantuan kecemasan kepada mangsa bencana / Foto RTM

PUCHONG, 20 Oktober -Malaysia dan China mengadakan latihan ketenteraan bersama bermula 15 Oktober hingga 23 Oktober (Rabu) melibatkan lebih 1,000 anggota tentera dari kedua-dua negara.

Latihan AMAN YOUYI 2025 (EX AY25) itu memberi tumpuan kepada Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (HADR) serta Keselamatan Maritim (MARSEC), termasuk operasi di Selat Melaka, antara laluan maritim terpenting dunia.

Pengarah Eksesais, Kolonel Ismail Mohamed berkata, beberapa agensi tempatan turut menyertai latihan ini seperti Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

"Pada eksesais kali ini agak unik kerana kita laksana di pusat simulasi SMART. Latihan 'urban search and rescue' (Operasi Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar )(USAR) dan eksesais perkongsian sebegini adalah yang kali pertama dilaksanakan antara PLA (People's Liberation Army) dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia)," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih USAR SMART, Inspektor Abdullah Ahmad Sobri berkata, latihan bersama itu menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran kepada pasukan keselamatan antarabangsa.

"Eksesais julung kali ini melibatkan SMART, ATM dan tentera China bagus supaya kita berkongsi ilmu dan kepakaran dengan pasukan (keselamatan) antarabangsa," ujar beliau.

Kerjasama ini memperkukuh keupayaan kebolehoperasian ATM dan PLA, selain memperluas perkongsian ilmu melalui Pertukaran Pakar Subjek (SMEE) meliputi operasi amfibia dan udara.

EX AY25 bukan sekadar platform latihan, tetapi simbol komitmen bersama Malaysia dan China dalam memperkukuh keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau.

EMMI NORALIZA ADNAN