KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Suasana penuh warna dan harmoni menyelubungi Foyer Kota Media bersempena majlis penyempurnaan kolam Deepavali anjuran Minnal FM, mencerminkan semangat kekeluargaan yang menjadi teras kekuatan organisasi itu.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata sambutan tersebut bukan sekadar meraikan perayaan masyarakat India, tetapi turut memperkukuh hubungan erat dalam kalangan warga kerja yang datang daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan.
“Yang paling penting adalah pertalian erat antara kita semua di RTM. Tidak kira siapa kita atau apa jua kepercayaan, kita tetap satu keluarga yang bersatu di bawah satu bumbung,” katanya ketika ditemui pada majlis penyempurnaan Kolam Deepavali di ibu pejabat RTM, di sini hari ini.
Datuk Suhaimi juga berkata, semangat kekeluargaan yang kuat dalam kalangan warga RTM terbina hasil kerjasama dan kebersamaan dalam tugasan harian, terutama bagi mereka yang bekerja dalam jadual siaran yang panjang dan berbeza.
“Apabila mereka meraikan hari kebesaran masing-masing, kita turut sama meraikannya bersama. Bagi saya, yang paling penting adalah pertalian yang sangat akrab antara kita di RTM itu nilai yang paling bermakna,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Datuk Suhaimi berkata sambutan Deepavali di RTM hanyalah permulaan kepada beberapa program istimewa lain yang akan dianjurkan, termasuk acara bersama Minnal FM dan kolaborasi khas bersama Astro bagi menyiarkan kandungan menarik bersempena perayaan tersebut.
Sambutan Deepavali di RTM bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan, tetapi juga menjadi wadah memperkukuh hubungan antara warga kerja pelbagai kaum di bawah satu bumbung penyiaran nasional.
Program itu menonjolkan nilai harmoni, saling menghormati dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.