KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Kerajaan dijangka membuat keputusan bagi menangani isu disiplin dan keselamatan pelajar sekolah, esok.
Langkah itu susulan beberapa laporan insiden tidak wajar yang berlaku di kawasan sekolah sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung perkara tersebut hari ini.
“Kita akan bahas secara terperinci di peringkat Kabinet. Tadi saya sudah berbincang sedikit dengan Menteri Pendidikan, dan esok kita akan putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43, mesyuarat-mesyuarat berkaitan, serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Sepanjang minggu ini, beberapa insiden berkaitan jenayah melibatkan pelajar dilapor berlaku di beberapa sekolah dalam negara.
Terbaharu, polis hari ini menahan seorang bekas pelajar dan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah di Baling yang disyaki terlibat dalam kes rogol bawah umur.
Dua hari lepas, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dibunuh oleh pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Manakala pada 11 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan reman empat pelajar Tingkatan Lima bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.