KOTA KINABALU, 16 Oktober - Menjelang Pilihan raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah Ke-17, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan pematuhan Akta Komunikasi dan Multimedia sepanjang tempoh berkempen.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, satu perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya akan diadakan minggu depan.
"Penguatkuasaan beberapa perkara sepanjang tempoh pilihan raya itu adalah di bawah bidang kuasa SPR.
"Tetapi pihak MCMC sedia untuk membantu memastikan sekiranya ada bahan-bahan yang tidak dibenarkan, tidak mematuhi undang-undang dapat diambil tindakan tegas", katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu selepas Sesi Libat Urus NADI dan Pelantikan Panel Penasihat NADI Sabah.
Beliau bercakap bagi mengulas wujudnya poster calon pilihan raya palsu di media sosial yang boleh mengelirukan pengundi menjelang hari pengundian.
Terdahulu, Datuk Fahmi menegaskan tindakan akan dikenakan terhadap individu atau pempengaruh yang menyalahgunakan media sosial untuk menghasilkan kandungan tidak sesuai terutama melibatkan pelajar.
"Peringatan kepada semua pempengaruh kita perlu berhati-hati dengan kandungan yang kita hasilkan supaya ia tidak melanggar undang-undang dalam Malaysia", katanya.