fb fb fb fb fb

BUDI95: Di Sabah berjalan lancar, disokong capaian internet stabil

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika melakukan tinjauan operasi pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Minyak Petronas Lintas Kepayan, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 16 Oktober - Pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Sabah menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Capaian internet yang stabil menjadi faktor utama kelancaran sistem tersebut.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sistem berasaskan digital itu mampu memproses puluhan ribu transaksi setiap minit, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi bersasar yang lebih tepat dan adil untuk rakyat.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Minyak Petronas Lintas Kepayan, serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada pengusaha dan pengguna stesen minyak.

Kestabilan sambungan internet secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam memastikan semakan kelayakan dan pengesahan transaksi dapat dilakukan dengan cepat dan lancar, selain memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan ini tanpa sebarang gangguan.

Melalui program itu, pengguna menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter dengan kelayakan sehingga 300 liter sebulan, manakala individu yang melebihi had atau tidak layak dikenakan harga pasaran RM2.60 seliter.

Mulai 15 Oktober, kerajaan turut memperluas manfaat subsidi bersasar kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, yang menerima had tambahan pembelian petrol bersubsidi.

Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan terus memantau pelaksanaan sistem ini bagi memastikan penyampaian maklumat yang inklusif dan memperkasa penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakyat.

Turut hadir dalam tinjauan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop.

ROSLINA BINTI DIN