KOTA KINABALU, 16 Oktober - Kementerian Komunikasi komited memastikan suasana media sosial kekal sihat dan tidak menjadi medan fitnah sepanjang tempoh Pilihan raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah berlangsung.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kempen PRU DUN Sabah berjalan lancar di ruang digital.
"Kita jangkakan bagi PRU DUN Sabah, sudah pasti banyak aktiviti berkempen akan dilakukan secara dalam talian, media sosial. Jadi salah satu dari perkara ialah tindakan yang boleh diambil oleh pihak SPR dengan segera untuk memastikan sekiranya ada sebarang kandungan yang pihak SPR telah kenal pasti sebagai melanggar peraturan pilihan raya, boleh diambil tindakan", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Sabah.
Dalam pada itu, wakil calon parti juga akan diberi taklimat mengenai cara melaporkan kandungan tidak sah atau palsu di platform digital.
Manakala, pertemuan bersama pihak pengurusan Meta dan TikTok di Singapura turut akan diadakan pada minggu hadapan.
Ia bagi memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan oleh pihak tersebut sekiranya terdapat kandungan yang dilaporkan menyalahi undang-undang SPR.