ARAU, 22 April - Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perlis meriah dengan masjid dipenuhi para jemaah selain amalan kunjung mengunjung selepas solat sunat Aidilfitri dilaksanakan.
Tinjauan Berita RTM di sekitar Arau dan Beseri mendapati amalan ziarah menziarahi tetap menjadi keutamaan bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim antara sesama umat Islam.
Berbanding dua tahun kebelakangan ini, Aidilfitri kali ini disambut penuh keceriaan dan tanpa sekatan berbanding tahun sebelum ini di mana negara menghadapi pandemik COVID-19 sehingga menghadkan aktiviti di musim perayaan.
Namun berbeza kali ini, penganjuran rumah terbuka diadakan seperti biasa dan tetamu yang hadir dapat bersama-sama menjamu juadah disediakan secara beramai-ramai selain dapat bersalaman dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.
(Golongan kanak-kanak antara yang paling gembira menyambut Aidilfitri apabila menerima
duit raya)
"Kemeriahan Aidilfitri itu memuncak dan kita semua seronok kerana keluarga dapat balik kampung dan kita pun dapat menemui sanak-saudara kita, dapat mengeratkan lagi silaturahim yang mungkin sebelum-sebelum ini kita agak ada kekangan untuk berjumpa dan Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kali ini, semua dah berbalik kepada biasa," kata Rozieana Ahmad.
"Alhamdulillah tahun ini kita beraya lebih meriah sedikit daripada tahun sebelumnya sebab tahun sebelumnya kita tahu kita ada PKP, tahun ini kelonggaran itu dah rasanya tahun lepas dah mula kelonggaran, jadi tak payah pakai 'mask', jadi ada sanak saudara yang datang berkunjung di pagi Hari Raya yang mulia ini, keseronokan lebih sedikitlah," jelas Mohd Izwan Izhar Haris.
"Kehadiran sahabat-sahabat handai, adik beradik semua meriah, orang kata sama juga macam itu lah dan tahun ini pula, semalam dengan 'homestay' pun dipenuhi pelanggan yang ramai, main mercun sebagainya, maklum lah kampung, suasana kampung kan, jadi saya rasa macam keluarga sendiri," kata Wan Maznah Megat Teh.
Selain golongan dewasa, kanak-kanak antara yang paling gembira menyambut Aidilfitri apabila menerima duit raya.