KUALA LUMPUR, 14 Julai- Hampir 10 juta tontonan direkodkan menerusi Program Salam Baitullah, sepanjang 14 hari bersiaran di TV1, bersempena musim Haji 1444H.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman, tampil dengan konsep baharu, segmen kuiz Salam Baitullah yang diperkenal kali ini menerima sambutan menggalakkan.
"Saya begitu bangga dengan produksi Salam Baitullah, kualiti bagus, penceritaannya bagus, pelaporan bagus.
"Sebab saya pun pernah bertugas sebagai wartawan dan bukan senang berada di lokasi untuk menyampaikan fakta dan maklumat.
"Apa yang penonton lihat di kaca televisyen itu 'almost perfect'...itu sangat penting dan saya bangga dengan apa yang telah dihasilkan oleh pasukan produksi Salam Baitullah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pemenang Kuiz Salam Baitullah 2023/1444H, di sini hari ini.
Bagi pemenang kuiz, mereka melahirkan rasa syukur dan gembira berjaya memenangi kuiz dianjurkan.
"Saya rasa bersyukur memenangi peraduan Salam Baitullah pada tahun ini, sebab saya sudah mencuba beberapa tahun yang lepas dan alhamdulillah hari ini rezeki saya, kata Pemenang Kuiz Terkumpul Salam Baitullah, Muhammad Arif Mohd Radzi.
"Saya begitu terkejut sewaktu diumumkan pemenang utama bagi kuiz media sosial, rasa gembira sangat dan bersyukur atas kemenangan ini dan hadiah ini juga atas doa ibu dan saya akan bawa ibu untuk menunaikan umrah insya-Allah, menurut Pemenang Kuiz Terkumpul Media Sosial Salam Baitullah, Abdul Azam Abdul Hamid.
Bertemakan 'Penyucian Jiwa, Kemuncak Ibadah', Salam Baitullah 2023 menampilkan gandingan pengacara terkenal Ustaz Hariz Ismail dan Ustaz Mohd Fakrul Radzi.
Segmen YouTube Salam Baitullah kendalian pengacara Yatt Hamzah turut menerima tontonan menggalakkan.
Salam Baitullah tahun ini dijayakan Aafiyat Holdings Sdn Bhd dan Olive House sebagai penaja utama.
Manakala rakan strategik terdiri daripada Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd; Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur; Kashmir House; Saudagar Aiman; Reezqa Global dan Adabi.